pusat berita dan media coca cola malaysia

Coca‑Cola, KFC dan Pizza Hut umum kerjasama berbilang tahun di Malaysia

Ketiga-tiga syarikat berhasrat membawa "Real Magic” kepada setiap rakyat Malaysia

01/08/2022

Kuala Lumpur, 2 Ogos 2022 – Coca‑Cola Malaysia dan QSR Brands (M) Holdings Bhd – pemilik francais dan pengendali KFC dan Pizza Hut mengumumkan kerjasama berbilang tahun di Malaysia. Ketiga-tiga syarikat gergasi dalam industri minuman dan restoran khidmat segera ini mahu memberikan rakyat Malaysia waktu makan yang lebih nikmat dengan papan menu yang lebih menarik di lebih 740 cawangan restoran KFC dan lebih 440 cawangan restoran Pizza Hut di seluruh negara.

Rakyat Malaysia kini boleh menikmati hidangan KFC atau Pizza Hut kegemaran mereka dengan Coca‑Cola Rasa Asli, Coca‑Cola Zero Sugar, Sprite, Fanta dan juga teh Heaven and Earth. Segala jenis minuman daripada Coca‑Cola boleh didapati di mesin pembahagi air dan juga jenis sedia diminum sama ada dalam tin atau botol.

“Kami berbesar hati dapat menghidangkan minuman Coca‑Cola bersama-sama menu popular yang ditawarkan oleh KFC dan Pizza Hut. Kami sangat gembira dengan kerjasama ini kerana ia menggambarkan sinergi yang cukup signifikan dalam menyediakan pelbagai jenis minuman yang menyegarkan, seiring dengan keperluan pengguna yang sentiasa berubah,” kata Louis Balat Joseph, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Pelaburan Pembotolan Coca‑Cola Singapura, Malaysia dan Brunei.

menu kfc classic meals 2 pcs combo dengan coca cola

Setiap waktu makan adalah satu nikmat. Coca‑Cola, KFC dan Pizza Hut berkongsi falsafah yang sama untuk menjadikan hidangan lebih menyeronokkan untuk rakyat Malaysia. “Di Coca‑Cola, falsafah kami sebagai sebuah jenama dan syarikat adalah untuk menjadi sebahagian daripada kenangan indah apabila keluarga dan rakan-rakan berkumpul untuk makan-makan, sambil menikmati minuman sejuk Coca‑Cola atau lain-lain minuman kami yang sedap dan menyegarkan,” kata Amruta Vaidya, Pengarah Francais, Coca‑Cola Malaysia.

Mulai Ogos ini, Coca‑Cola Malaysia adalah pembekal minuman untuk KFC dan Pizza Hut, dengan pelbagai jenis minuman menyegarkan tersedia di restoran KFC dan Pizza Hut terpilih. Semua 1180+ restoran KFC dan Pizza Hut di seluruh negara akan melalui fasa peralihan untuk menghidangkan produk Coca‑Cola. Fasa ini dijangka selesai pada awal bulan September.

“Sebagai peneraju industri makanan runcit di Malaysia, QSR Brands melalui KFC dan Pizza Hut komited untuk terus menyediakan produk berkualiti tinggi, pada masa sama kekal relevan untuk semua. Kami komited untuk meningkatkan perkhidmatan, inovasi dan kepuasan pelanggan. Sepanjang dua tahun lalu, walaupun menghadapi suasana yang mencabar, kami terus mengalami pertumbuhan yang baik melalui pelaksanaan inovasi dalam semua aspek perniagaan dan hal ini akan diteruskan. Kami percaya kerjasama ini akan meluaskan lagi capaian kami dan berharap dapat menggembirakan para pelanggan kami,” kata Nehchal Khanna, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Urusan, QSR Brands (M) Holdings Berhad. 

pizza hut menu my box dine in combo dengan coca cola

Produk popular, Coca‑Cola Zero Sugar juga boleh didapati di restoran-restoran KFC dan Pizza Hut, sebagai salah satu langkah Coca‑Cola Malaysia untuk meluaskan lagi portfolionya dalam menyediakan pilihan yang lebih sihat melalui logo Simbol Pilihan Lebih Sihat yang diiktiraf. Coca‑Cola Malaysia kekal komited menyokong usaha untuk mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan rakyat Malaysia, dan menyediakan minuman lazat yang menjadi pilihan ramai pada masa yang sama.

Melalui kerjasama ini, Coca‑Cola mengukuhkan lagi legasi dan kehadirannya dalam industri makanan dan minuman, menawarkan pelbagai jenis minuman menyegarkan di semua restoran KFC dan Pizza Hut di seluruh negara.